Saturday 5 January 2013

Fatwa : Isu & Penyelesaiannya


Assalamualaikum. 

Moga semuanya dalam lindungan Allah SWT.... emm tiba2 rasa kekok sangat.. know why? dah hampir setahun ana xbuka blog ni.. bukan nape, tanggungjawab as a student tu kadang-kadang mengehadkan aktiviti seharian kita yg dikategorikan sebagai boleh di KIV dulu..aha! Actually banyak maklumat yang ana nak kongsi dalam blog ni. ^-^

Ok post kali ni membincangkan tentang ISU BERKAITAN DENGAN FATWA, CABARAN DAN PENYELESAIANNYA. Ini adalah hasil tugasan ilmiah subjek Usul Fiqh yang diberi oleh pensyarah ana iaitu Dr. Muhammad Adib b. Samsudin. Secara ringkasnya menurut Wahbah al-Zuhaili fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.


Muka Hadapan Assignment. hahah

FATWA : ISU, CABARAN DAN PENYELESAIAN

Fatwa mempunyai peranan yang penting dalam perundangan Islam kerana berfungsi menjelaskan hukum-hukum yang tidak terdapat nas yang jelas kepada masyarakat. Oleh kerana tugas mengeluarkan fatwa adalah satu tugas yang besar dan berat jadi ia tidak dapat lari daripada timbulnya isu dan cabaran. Berikut adalah beberapa isu dan cabaran fatwa di Malaysia yang ana pilih daripada tugasan ana:


       i.            Keseragaman Fatwa Seluruh Negara Melalui 1Malaysia 1Fatwa

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin mengatakan bahawa usaha untuk menyeragamkan fatwa melalui 1Malaysia 1Fatwa penting untuk mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung fatwa yang dibuat. Institusi fatwa di negara ini ingin menyelaras pengeluaran hukum melalui model 1Malaysia 1Fatwa supaya ia diseragamkan di setiap negeri (Utusan Malaysia 2012).

Di samping itu, dilihat keseragaman ini bukan sahaja dapat mencapai atau merealisasikan matlamat 1Malaysia 1Fatwa tetapi juga memperlihatkan kesatuan umat Islam di negara ini sebagai negara Islam contoh di mata dunia. Akan tetapi keseragaman ini perlulah menitikberatkan pelbagai aspek. Keputusan fatwa yang dikeluarkan perlu melihat masalah yang timbul tersebut secara keseluruhannya serta hukum yang dikeluarkan perlulah memberi kebaikan kepada masyarakat amnya dan kepada orang yang terlibat dalam masalah tersebut khususnya.

Dalam perkembangan berkaitan isu ini, melalui kefahaman yang jelas, sesuatu fatwa dapat diterima dengan baik oleh masyarakat selagimana ia selaras dengan tuntutan syarak dan hukum yang dikeluarkan itu sesuai dengan keadaan semasa masyarakat Malaysia.


Cadangan Penyelesaian

Memang tidak dinafikan perbezaan pandangan berlaku dalam apa jua bidang, namun jika perbezaan itu dapat diminimumkan, disatukan atau diselaraskan, pasti hasrat ini dapat dicapai. Kemungkinan pematuhan dan penerimaan berkenaan isu ini akan menjadi cerminan imej dan kewibawaan kredibiliti institusi agama di negara ini.

Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin,  Ini adalah harapan mutakhir supaya agensi agama dapat memainkan peranan secara menyeluruh dan meninggikan syariat Allah di samping menjaga perpaduan dan keharmonian bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah dengan sahabat-sahabat lain yang tidak beragama Islam.

Keseragaman fatwa seluruh negara melalui 1Malaysia 1Fatwa bolehlah dilihat dari aspek kebaikan perlaksanaannya tanpa mengaitkannya dengan soal politik negara. Perkara ini perlu diteliti dan dikaji agar perlaksanaannya kelak tidak menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak. Sekiranya keseragaman ini membawa kebaikan lebih daripada keburukan, ia patut dilaksanakan di negara kita. Selaras dengan tanggungjawab besar yang diamanahkan, Jawatankuasa Fatwa MKI perlu bermuzakarah mengenai perkara ini dan menerangkan kepada masyarakat relevannya perlaksanaan keseragaman fatwa melalui 1Malaysia 1Fatwa.



  1. Keputusan Majlis Fatwa 'Berat Sebelah'

Keputusan fatwa tidak boleh berpihak dan perlu dilihat secara menyeluruh sesuatu isu tersebut. Perkara ini timbul berkaitan dengan isu perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan pada 28 April 2012 yang lalu. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya rakyat yang menyertai perhimpunan tersebut. Keputusan pengharaman ini dibuat seolah-olah berat sebelah.

        Mursyidul Am PAS yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram. Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, beliau berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata. "Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang digunakan telah pun rosak," katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

            Hal ini kerana, perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara. Huru-hara tercetus jika ia dihalang. Perhimpunan itu adalah untuk menggariskan lapan tuntutan membersihkan pilihan raya di Malaysia dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya. Jadi pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara kita ini? Selain itu juga, yang menghairankan, kebiasaannya sesuatu fatwa yang akan dikeluarkan akan mengambil masa yang lama, akan tetapi isu BERSIH 3.0 ini proses pengeluaran fatwanya amat singkat. Hal ini memusykilkan masyarakat Malaysia.


Cadangan Penyelesaian

Ana berpandangan isu seperti ini dilihat agak sensitif. Perkataan “ berat sebelah” ini bolehlah ditafsirkan Jawatankuasa Fatwa hanya melihat atau mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja. Fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman. Perkara seperti ini tidak adil bagi masyarakat Malaysia. Kemungkinan fatwa tersebut hanya "laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum pertimbangan dibuat.

Dalam isu ini dapat dilihat sebenarnya kedua-dua pihak adalah betul. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan hukum mengatakan haram berpandukan kepada peristiwa yang berlaku iaitu berlakunya huru-hara ketika perhimpunan tersebut berlangsung. Peserta perhimpunan BERSIH 3.0 pula berpendapat sekiranya mereka tidak mengadakan perhimpunan ini maka pengurusan sistem pilihanraya tidak dapat dijalankan dengan telus. Apabila pandangan mereka ini berbeza, maka hukumnya juga berbeza (Mohamad Zulkifli bin Abdul Ghani 2012).

Cadangan penyelesaian yang ana ingin syorkan adalah supaya sebelum Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan sesuatu hukum perlulah melihat secara menyeluruh masalah yang berlaku terutamanya perkara yang melibatkan unsur-unsur politik seperti BERSIH 3.0 ini. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak boleh berpihak kerana apabila mereka berpihak maka hukum yang dikeluarkan akan berat sebelah. Keputusan yang dikeluarkan perlu sesuai dengan semua masyarakat.  Di samping itu, fatwa yang dikeluarkan perlulah bermatlamatkan ingin menegakkan hukum Allah s.w.t. Oleh hal yang demikian ia perlulah selari mengikut kehendak Allah s.w.t.



iii. Institusi Fatwa Tidak Mempunyai Autoriti Penuh dan Memakan Masa yang Lama untuk Dikeluarkan 

Ada beberapa kes, fatwa yang telah dikeluarkan oleh institusi fatwa tidak semuanya dikuatkuasakan oleh kerajaan. Kadang-kadang fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa tidak diterima pakai oleh semua ahli masyarakat Islam yang tinggal di dalam negeri tempat fatwa itu dikeluarkan dengan alasan-alasan yang tertentu. Penguatkuasaan fatwa oleh pihak yang bertanggungjawab samada di peringkat negeri atau pusat bergantung kepada taraf fatwa tersebut. Ini kerana, fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa itu ada yang diwartakan dan ada yang tidak diwartakan. Fatwa yang diwartakan bermakna telah memiliki autoriti untuk mengikat semua orang Islam yang tinggal di dalam negeri tempat fatwa yang dikeluarkan.

  Tidak banyak fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa diwartakan. Proses untuk mewartakan satu-satu fatwa yang dikeluarkan oleh institusi adalah satu yang sangat sukar dan memakan masa yang lama. Ini kerana ia terpaksa melalui berbagai-bagai peringkat sehingga mendapat keizinan daripada Sultan atau Raja yang memerintah. Proses mewartakan fatwa hanya akan berjalan lancar dan mengambil masa yang singkat sekiranya ia adalah arahan daripada pihak berkuasa negeri atau pusat. Sebagai contohnya ialah proses mengazetkan fatwa pengharaman aktiviti dan kumpulan al-Arqam.

Ada juga fatwa yang telah berjaya diwartakan tetapi penguatkuasaannya telah ditangguhkan kerana arahan daripada kerajaan negeri. Kes ini berlaku kepada fatwa kedua mengenai rokok yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor.Penguatkuasaannya telah ditangguhkan melalui keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor. Alasan penangguhan perlaksanaan fatwa ini ialah untuk menjaga kepentingan kerajaan negeri dan masyarakat Islam yang terlibat dengan perusahaan rokok.

     Ada fatwa yang telah diwartakan akan tetapi perlaksaannya telah dihalang oleh pihak tertentu. Fatwa tersebut telah diarahkan supaya dibatalkan dan ditarik semula oleh institusi fatwa yang mengeluarkannya dengan keizinan Duli yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Ini berlaku pada fatwa pengharaman upacara bertafakur di Tugu Pahlawan pada Hari Pahlawan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Autoriti yang diberikan kepada institusi fatwa terlalu rendah dan kurang. Institusi fatwa terlalu terdedah kepada campur tangan pihak luar yang tidak ada kaitan dengan proses pengeluaran fatwa. Ini bermakna institusi fatwa tidak mempunyai kebebasan dalam mengeluar dan menguatkuasakan fatwa.

Kadang-kadang autoriti institusi fatwa berada lebih rendah daripada autoriti suara rakyat dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan(NGO). Sebagai contoh di dalam masalah penajaan SUKOM oleh Carlsberg. Institusi fatwa di Pulau Pinang telah mengeluarkan fatwa bahawa penajaan itu adalah haram kerana Carlsberg menjalankan perniagaan yang haram dan hasil daripada perniagaan itu adalah haram. Fatwa ini telah tidak dipedulikan oleh pihak SUKOM dan tidak ada tindakan dari pihak berkuasa. Penajaan oleh Carlsberg tetap diteruskan. Setelah menerima desakan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan ,maka pihak berkuasa mengambil tindakan mengarahkan pihak SUKOM mengkaji semula penajaan oleh Carlsberg tersebut.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana fatwa adalah satu keputusan syarak yang melibatkan aktiviti masyarakat Islam semasa. Oleh itu, ia perlu dipatuhi oleh semua pihak. Sekiranya perkara sebaliknya berlaku, maka masyarakat Islam di Malaysia akan menganggap institusi fatwa yang ada hanyalah suatu tempat bertanyakan soalan agama yang mereka bebas hendak mengikut atau tidak hukum agama yang diberikan oleh institusi fatwa tersebut. Pengaruh institusi fatwa terhadap aktiviti masyarakat Islam akan hilang dan kewibawaannya akan dipandang rendah oleh semua orang. (Hasnan Kasan)

Cadangan Penyelesaian

Kemungkinan menyedari keadaan autoriti yang rendah dan kurang itu sejak kebelakangan ini ada cadangan telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri supaya mufti diberikan kedudukan yang lebih tinggi di dalam pentadbiran negeri. Antara cadangan yang telah dikemukakan kepada kerajaan negeri supaya mufti di setiap negeri dilantik sebagai exco dalam majlis mesyuarat negeri (Abdul Monir Yaacob).

Hasil daripada cadangan ini, Perlis mengambil langkah melantik Mufti Kerajaan Negeri Perlis sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. Tujuan perlantikan ini ialah bagi membolehkan Mufti memberikan pandangannya dalam perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut secara langsung. Manakala negeri-negeri lain belum ada yang mengambil langkah melantik Mufti Kerajaan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri(Hasnan Kasan)

   Selain itu, menurut pandangan ana, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga perlu meneliti kembali proses pengeluaran fatwa di Malaysia yang mengambil masa terlalu lama untuk dikeluarkan. Menetapkan standard masa bagi setiap proses mungkin boleh menyelesaikan masalah ini. Ketiadaan standard masa kepada proses ini akan menyebabkan sesuatu fatwa itu memakan masa yang lama untuk dikeluarkan.


Oleh itu, dengan fatwa yang benar dan tepat dapat menjamin keamanan dan  perlaksanaan syariat serta Islam dapat dijalankan tanpa gangguan mana-mana pihak lagi kerana telah menjadi peraturan untuk masyarakat Malaysia mengikutinya. Justeru fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Wallahua'lam (n_n)