Thursday, 13 June 2013

Komik 33 Pesan Nabi, Jaga Mata, Jaga Telinga, Jaga Mulut



Assalamualaikum

Yuhuuu ana kembali. Sekarang musim exam final. Tapi sekarang ana rileks sikit la sebab gap subjek akan datang jauh jgak la...So ada masa la sikit nak update blog kesayangan ni..ehe.. Post kali ini simple sahaja. Ana nak kongsi sebuah buku yang ana rasa menarik untuk dibaca ketika santai-santai atau untuk menghilangkan strees. Lihat muka hadapannya, look so nice... (sebab itulah tertarik nak beli komik ni).


33 Pesan Nabi (Kulit hadapan)

Kulit belakang

Buku ini ana beli di Pusanika UKM sempena jualan-jualan barangan la kat situ.. dah lama habis baca, bukan tebal pun. 126 muka surat sahaja.. Apa yang menarik ialah buku ini memampatkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang disampaikan dalam bentuk komik kartun berdialog.. Kartun yang dilukis pun comel-comel belaka. Mudah untuk kita faham hadith-hadith dengan cara begini. Pendekatan baru dalam mempelajari hadith kan. Komik Hadith ini dihasilkan oleh vbi_djenggotten, penulis dari Indonesia. Beliau mendapat anugerah Peraih Nominasi Komik Terbaik Anugerah Pembaca Indonesia 2011. Komik ini bestseller disana. Lihat isi dalamnya...


Cantik kartun yang dilukis

Hujung setiap cerita, dinyatakan petikan hadithnya

Setiap cerita diberi tajuk. Contohnya tajuk 'Etika Menawar'

Oleh hal yang demikian, dapatkan lah di pasaran (wah gitu!). Tak rugi kita mengeluarkan sedikit wang untuk membeli bahan bacaan yang bermanfaat. Tambahan pula komik ini menguatkan lagi pemahaman kita tentang sesuatu hadith di samping dapat menyemai perasaan cintakan hadith yang merupakan sumber rujukan kedua dalam Islam dan seterusnya cintakan Rasulullah S.A.W. Harganya pun agak berpatutan iaitu RM14.90. Seronok, tak rugi beli. Sesuai juga dijadikan hadiah kepada yang tersayang. Wallahua'lam

Sunday, 28 April 2013

Majlis Ikrar Gemilang Pelajar SPM 2013


Assalamualaikum

Ehe… ana baru lepas naik midsemester break. Sat ja dah mid sem kan…aha, yang pastinya exam midterm bakal menanti. Sepanjang duduk di rumah tak ada la buat apa sangat. Cuma nak kongsi berkenaan dengan Majlis Ikrar Gemilang Pelajar SPM 2013 adik ana. Adik ana bersekolah di SMK Convent Taiping. Dah 2 orang adik ana sekolah situ. Sorang lagi dah jadi mahasiswi UIAM dah. Pendek kata sekolah ni banyak berjasa kepada kami adik beradik. Wah gitu! Sekolah ni bertaraf sekolah kluster. Setiap tahun ramai pelajarnya yang dapat straight A. Hope this year adik ana menjadi salah seorang pelajarnya yang mendapat straight A. Ameen…

SMK Convent Taiping

SMK Convent Taiping


Pandangan bangunan hadapan sekolah

Dewan Srikandi-tempat kejadian
Buku program yang ana dapat

 Ana menghadiri majlis ini bersama mak terchinta sehari sebelum balik UKM balik. Ingatkan sekadar dengaq ucapan ja rupanya ada bacaan ikrar oleh ibubapa, guru-guru dan pelajar SPM , ada nyanyian lagu Bonda dll. Yang ana nak highlight kat sini upacara memasang lencana pada anak-anak. So sweet… bukan semua sekolah ada upacara macam ni. Ibubapa perlu memakaikan lencana tersebut di hadapan dewan kepada anak masing-masing diiringi pula dengan lagu Bonda yang sedih tadi tu nyanyian…(xingat nyanyian sapa la..ehe) sapa yang tak tahan, memang sebak la. Hukhuk..

Adk ana yg tgh2 tu la, sedang menanti mak dtg..kesian tersepit :(

Mak sedang memasang lencana 'Straight A' pada adik

Setelah dipakaikan oleh mak tersayang, inilah hasilnya..aha

Sejak dari hari bacaan ikrar tu, pelajar SPM ni perlu memakai lencana tersebut sepanjang masa persekolahan. Secara tidak langsung ia menjadi satu motivasi kepada calon SPM ni untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM @ straight A. Yalah dah tersemat di tudung/baju masing-masing, jadi setiap hari mereka tatap lencana tu kan. Memang sudah menjadi tradisi SMK Convent Taiping ni buat lencana sebegitu kepada pelajanya yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Ada upacara rasmi yang dihadiri oleh ibubapa lagi untuk memasang lencana tu. Kemudian pelajar-pelajar juga perlu menandatangani 'perjanjian' @ Aku Janji untuk berusaha bersungguh-sungguh capai kecemerlangan...Ibu bapa juga perlu menandatangani 'perjanjian' itu. Antara perkara yang termaktub dalam itu ialah ibubapa perlu membantu anak-anak mereka dan memberi dorongan kepada anak-anak. Jadi tidak hairanlah SMK Convent menjadi sekolah harapan daerah Taiping. 


Aku Janji yang pelajar dan ibubapa perla tandatangan


Suasana dalam dewan

Ana berharap semoga lebih banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang mencontohi kesungguhan sekolah ini dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Bukan upacara ni semata-mata yang menyebabkan pelajarnya maju, tetapi kerjasama daripada guru-guru, ibubapa dan pelajar itu sendiri dalam meningkatkan prestasi sekolah khususnya kualiti pelajar-pelajar yang dilahirkan. Kecemerlangan akademik semata-mata tiada guna juga sekiranya akhlak dan budi pekerti pelajar yang dilahirkan tidak cemerlang.  Pelajar yang cemerlang akademik dan memiliki akhlak serta budi pekerti yang luhur lah yang menjadi harapan agama, bangsa dan negara. Negara kita kehausan pelajar begini. Aset inilah yang perlu dilahirkan di sekolah-sekolah di Malaysia. Wallahua’lam

Thursday, 28 February 2013

Unsur-unsur perancangan dan pengorganisasian dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w



Salam. Moga sentiasa di bawah rahmat Ilahi.. emm ana la ni sudah masuk tahun ke2, semester 4 di UKM. So far, awal2 sem ni xda buat apa sangat memandangkan class pun baru bermula, assignment pun xstart wat lg (walaupun ada subjek yg dah dapat tajuk, ehe ^^'). Jadi ana pun update la blog yg hampir bersarang ni.. ahak! keghobik balik hardisk cari bahan assignment dulu2 masa diploma di KUIS. Jadi jumpa la tajuk ni... memang best. 

Masa ana buat assignment ni rasa seronok sangat sebab byk maklumat baru yg ana dapat tahu. Sebelum ni belajar hijrah Rasulullah S.A.W, xperhati sangat elemen2 perancangan, pengorganisasian ni. Bila dapat tajuk ni kira lebih teliti la dalam baca sirah Rasulullah S.A.W sebab nak 'detect' benda tu kan. 

Alhamdulillah dapat ilmu baru n alfu syukran kepada Ustaz Mohd Isa Bin Mohd Deni, pensyarah subjek Pentadbiran dan Pengurusan Islam KUIS kerana beri tajuk yg menarik ni...uhuhu... n xlupa juga kpd rakan kumpulan yg sama2 buat assignment ni iaitu Mashitoh Mohamad Hashim dan Nurul Syafiqah Mohd Shahdan. Miz both of u my frenzz..

Moga ilmu ini memberi manfaat kepada semua.


............................................................

Pada tahun ke tiga belas setelah Rasulullah s.a.w diangkat menjadi nabi (622 M), terjadi peristiwa bersejarah dalam Islam. Peristiwa itu adalah perjalanan Hijrah Rasulullah s.a.w dari kota Makkah menuju kota Madinah yang merupakan tonggak bersejarah bagi tersebarnya Islam di muka bumi.

Setelah mendapat berbagai macam siksaan kaum kafir Quraisy di Makkah, baginda akhirnya diizinkan Allah melakukan hijrah ke kota Madinah. Di kota inilah, Islam semakin tumbuh subur dan berkembang. Sinarnya memancar ke seluruh penjuru dunia menerangi seluruh alam dan membawa rahmat bagi seluruh umat.

Baginda diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat yang besar bagi kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat. 'Rahmat' itu sebenarnya turut meliputi kepimpinan baginda sebagai pakar strategi dan perisikan didalam  peristiwa hijrah ini.

Ini kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya. Dalam peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda dalam mengatur strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.

Perkataan 'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang. Ia merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan matlamat menewaskan pihak musuh. Carl von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan strategi sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu termasuklah membuat keputusan penglibatan individu tersebut (Sumber: The Essentials of Strategy, 2006: xiii).

Dalam lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi ialah cara mana Rasulullah boleh melakukannya dengan jaya. Ia mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.


Elemen-elemen strategi/perancangan yang wujud dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w

Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat).

¡       Faktor kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib) menyambut kedatangan baginda. Ini berikutan beberapa rombongan dari kota tersebut yang telah menemui baginda di Aqabah, Mina pada 621M terdiri daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.

¡       Ini diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira 70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Sumber: Safiyyu Al- Rahman Al- Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207&211). Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak mereka dan tidak menentang baginda.

¡       Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah memilih Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak musuh. Lebih-lebih lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar didaki. Setelah 3hari 2 malam di Gua Thur, baginda berhenti selama 4 hari di Quba' dan membina masjid Quba'(masjid pertama  dalam Islam). Baginda juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh penduduk Mekah.

¡       Hijrah ke Madinah ini juga Rasulullah dan Saidina Abu Bakar menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan. Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di sepanjang perjalanan. Beliau berjalan ke arah selatan, padahal tujuan beliau sebenarnya ke arah utara (Madinah).

¡       Dari aspek peluang pula, Rasulullah telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, baginda dan golongan Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.

¡       Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT. Sebaliknya Nabi Muhammad, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati. Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.

¡       Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan ketenteraan mereka.


Rasulullah juga mempunyai unsur-unsur pengorganisasian. Sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai HUMINT (human intelligence).

  Antaranya ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani baginda sepenuh masa sewaktu berhijrah. Kemudian, sebelum berangkat ke Madinah, pada siang hari yang sangat panas Rasulullah s.a.w mendatangi Abu Bakar. Beliau datang dengan cara sembunyi-sembunyi. Lalu beliau berkata kepada Abu Bakar, “Suruhlah keluargamu ke luar rumah!” Abu Bakar menjawab, “Ya, Rasulullah, tidak ada siapa-siapa selain keluargaku.” Dalam hal ini Rasulullah memerintahkan Abu Bakar agar berhati-hati, supaya rencana hijrah ini jangan sampai diketahui oleh orang lain. Bersama Abu Bakar, beliau telah menyiapkan haiwan tunggangan. Ini merupakan perencanaan strategi yang dilakukan secara matang dan penuh perhitungan.

      Begitu juga Ali bin Abi Talib r.a. yang menggantikan baginda di tempat tidur pada malam hijrah. Sebelum itu beliau berpesan kepada Ali agar mengembalikan barang-barang orang Quraisy yang diberikan kepada beliau. Ini merupakan salah satu akhlak Rasulullah yang sangat mulia, dimana beliau senantiasa berlaku amanah iaitu mengembalikan pemberian tadi meskipun terhadap orang yang berbuat jahat terhadap beliau.

      Pembantu lain ialah Asma' anak perempuan Abu Bakar yang menguruskan bekalan makanan.  Dia mengikat bekal itu dengan ikat pinggangnya, setelah ia membahagi ikat pinggang itu menjadi dua bahagian. Setiap petang dia mengantar bekalan itu ke gunung Tsur, padahal saat itu dia sedang hamil besar. Inilah yang menyebabkan orang Quraisy tidak curiga sama sekali ketika Asma` mendaki gunung Tsur.

        Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang ramai, kemudian melaporkan kepada baginda dan bapanya pada sebelah malam. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya informasi dalam mengatur strategi yang berkesan.

        Ini dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping mengelirukan pihak musuh. Pada sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.

        Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik, tetapi beliau amanah dan taat menyimpan rahsia.

Baginda juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mush'ab bin Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi s.a.w menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah. Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Jelas, kita dapat melihat dengan lebih mendalam kronologi peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W yang meliputi pelbagai sudut perancangan dan perorganisasian dalam hijrah baginda dari Mekah ke Madinah. Rasulullah juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima dari hijrah yang baginda lakukan. Selain itu, kita juga boleh mengambil iktibar dari peristiwa ini iaitu dalam melakukan usaha dakwah, kita hendaklah mempunyai strategi yang mantap. Bukan itu sahaja, bagi pendapat ana sebagai umat Islam kita wajib bekorban untuk meninggikan martabat Islam di mata dunia dan sentiasa berpegang kepada agama Islam dan kesatuan aqidah yang merupakan asas kepada perpaduan umat Islam. Sebagai umat Islam kita sepatutnya mencontohi baginda yang merupakan umat kelas pertama yang berkebolehan dalam mengurus serta mentadbir sesuatu organisasi. 


....................................................................

Semoga entry ini bermanfaat.