Assalamualaikum.
Moga semuanya dalam lindungan Allah SWT.... emm tiba2 rasa kekok sangat.. know why? dah hampir setahun ana xbuka blog ni.. bukan nape, tanggungjawab as a student tu kadang-kadang mengehadkan aktiviti seharian kita yg dikategorikan sebagai boleh di KIV dulu..aha! Actually banyak maklumat yang ana nak kongsi dalam blog ni. ^-^
Ok post kali ni membincangkan tentang ISU BERKAITAN DENGAN FATWA, CABARAN DAN PENYELESAIANNYA. Ini adalah hasil tugasan ilmiah subjek Usul Fiqh yang diberi oleh pensyarah ana iaitu Dr. Muhammad Adib b. Samsudin. Secara ringkasnya menurut Wahbah
al-Zuhaili fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh
mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Muka Hadapan Assignment. hahah |
FATWA : ISU, CABARAN DAN PENYELESAIAN
Fatwa mempunyai peranan yang penting dalam perundangan
Islam kerana berfungsi menjelaskan hukum-hukum yang tidak terdapat nas yang
jelas kepada masyarakat. Oleh kerana tugas mengeluarkan fatwa adalah satu tugas
yang besar dan berat jadi ia tidak dapat lari daripada timbulnya isu dan
cabaran. Berikut adalah beberapa isu dan cabaran fatwa di Malaysia yang ana pilih daripada tugasan ana:
i.
Keseragaman Fatwa Seluruh Negara Melalui 1Malaysia 1Fatwa
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin mengatakan bahawa usaha untuk
menyeragamkan fatwa melalui 1Malaysia 1Fatwa penting untuk mengelak sebarang
kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung fatwa yang dibuat. Institusi
fatwa di negara ini ingin menyelaras pengeluaran hukum melalui model 1Malaysia
1Fatwa supaya ia diseragamkan di setiap negeri (Utusan Malaysia 2012).
Di samping itu, dilihat keseragaman ini bukan sahaja dapat mencapai atau
merealisasikan matlamat 1Malaysia 1Fatwa tetapi juga memperlihatkan kesatuan
umat Islam di negara ini sebagai negara Islam contoh di mata dunia. Akan
tetapi keseragaman ini perlulah menitikberatkan pelbagai aspek. Keputusan fatwa
yang dikeluarkan perlu melihat masalah yang timbul tersebut secara
keseluruhannya serta hukum yang dikeluarkan perlulah memberi kebaikan kepada
masyarakat amnya dan kepada orang yang terlibat dalam masalah tersebut
khususnya.
Dalam perkembangan berkaitan isu ini, melalui kefahaman yang jelas,
sesuatu fatwa dapat diterima dengan baik oleh masyarakat selagimana ia selaras
dengan tuntutan syarak dan hukum yang dikeluarkan itu sesuai dengan keadaan
semasa masyarakat Malaysia.
Cadangan Penyelesaian
Memang tidak dinafikan perbezaan pandangan berlaku dalam apa jua bidang,
namun jika perbezaan itu dapat diminimumkan, disatukan atau diselaraskan, pasti
hasrat ini dapat dicapai. Kemungkinan pematuhan dan penerimaan berkenaan isu
ini akan menjadi cerminan imej dan kewibawaan kredibiliti institusi agama di
negara ini.
Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin, Ini adalah harapan mutakhir supaya agensi
agama dapat memainkan peranan secara menyeluruh dan meninggikan syariat Allah
di samping menjaga perpaduan dan keharmonian bukan sahaja di kalangan umat
Islam, malah dengan sahabat-sahabat lain yang tidak beragama Islam.
Keseragaman fatwa seluruh negara melalui 1Malaysia 1Fatwa
bolehlah dilihat dari aspek kebaikan perlaksanaannya tanpa mengaitkannya dengan
soal politik negara. Perkara ini perlu diteliti dan dikaji agar perlaksanaannya
kelak tidak menimbulkan rasa kurang senang mana-mana pihak. Sekiranya
keseragaman ini membawa kebaikan lebih daripada keburukan, ia patut
dilaksanakan di negara kita. Selaras
dengan tanggungjawab besar yang diamanahkan, Jawatankuasa Fatwa MKI perlu bermuzakarah mengenai
perkara ini dan menerangkan kepada masyarakat relevannya perlaksanaan
keseragaman fatwa melalui 1Malaysia 1Fatwa.
- Keputusan Majlis Fatwa 'Berat Sebelah'
Keputusan fatwa tidak boleh berpihak dan perlu dilihat
secara menyeluruh sesuatu isu tersebut. Perkara ini timbul berkaitan dengan isu
perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan pada 28 April 2012 yang lalu. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik mendapat
kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya rakyat yang menyertai perhimpunan
tersebut. Keputusan pengharaman ini dibuat seolah-olah berat sebelah.
Mursyidul Am PAS
yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang
bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram. Bagaimanapun,
apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan
huru-hara, beliau berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan
hanya menggunakan sebelah mata. "Mata yang digunakan pula adalah kabur
dengan cermin mata yang digunakan telah pun rosak," katanya sambil
menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.
Hal ini kerana, perhimpunan
BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara. Huru-hara tercetus
jika ia dihalang. Perhimpunan itu adalah untuk menggariskan lapan tuntutan membersihkan
pilihan raya di Malaysia dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi
menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya. Jadi pernahkah Majlis
Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh
BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya
yang implikasinya lebih besar kepada negara kita ini? Selain itu juga, yang menghairankan, kebiasaannya sesuatu fatwa yang
akan dikeluarkan akan mengambil masa yang lama, akan tetapi isu BERSIH 3.0 ini
proses pengeluaran fatwanya amat singkat. Hal ini memusykilkan masyarakat
Malaysia.
Cadangan Penyelesaian
Ana berpandangan isu seperti ini dilihat agak sensitif.
Perkataan “ berat sebelah” ini bolehlah ditafsirkan Jawatankuasa Fatwa hanya
melihat atau mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja. Fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari
kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman. Perkara seperti ini
tidak adil bagi masyarakat Malaysia. Kemungkinan fatwa tersebut hanya
"laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari
penganjur BERSIH 3.0 sebelum pertimbangan dibuat.
Dalam
isu ini dapat dilihat sebenarnya kedua-dua pihak adalah betul. Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan mengeluarkan hukum mengatakan haram berpandukan kepada peristiwa
yang berlaku iaitu berlakunya huru-hara ketika perhimpunan tersebut berlangsung.
Peserta perhimpunan BERSIH 3.0 pula berpendapat sekiranya mereka tidak
mengadakan perhimpunan ini maka pengurusan sistem pilihanraya tidak dapat
dijalankan dengan telus. Apabila pandangan mereka ini berbeza, maka hukumnya
juga berbeza (Mohamad
Zulkifli bin Abdul Ghani 2012).
Cadangan penyelesaian yang ana ingin syorkan adalah
supaya sebelum Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan sesuatu hukum perlulah
melihat secara menyeluruh masalah yang berlaku terutamanya perkara yang
melibatkan unsur-unsur politik seperti BERSIH 3.0 ini. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak boleh
berpihak kerana apabila mereka berpihak maka hukum yang dikeluarkan akan berat
sebelah. Keputusan yang dikeluarkan perlu sesuai dengan semua masyarakat. Di samping itu, fatwa yang dikeluarkan
perlulah bermatlamatkan ingin menegakkan hukum Allah s.w.t. Oleh hal yang
demikian ia perlulah selari mengikut kehendak Allah s.w.t.
iii. Institusi Fatwa Tidak Mempunyai Autoriti Penuh dan
Memakan Masa yang Lama untuk Dikeluarkan
Ada beberapa kes, fatwa yang telah dikeluarkan oleh
institusi fatwa tidak semuanya dikuatkuasakan oleh kerajaan. Kadang-kadang
fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa tidak diterima pakai oleh semua
ahli masyarakat Islam yang tinggal di dalam negeri tempat fatwa itu dikeluarkan
dengan alasan-alasan yang tertentu. Penguatkuasaan fatwa oleh pihak yang
bertanggungjawab samada di peringkat negeri atau pusat bergantung kepada taraf
fatwa tersebut. Ini kerana, fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa itu ada
yang diwartakan dan ada yang tidak diwartakan. Fatwa yang diwartakan bermakna
telah memiliki autoriti untuk mengikat semua orang Islam yang tinggal di dalam
negeri tempat fatwa yang dikeluarkan.
Tidak
banyak fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa diwartakan. Proses untuk
mewartakan satu-satu fatwa yang dikeluarkan oleh institusi adalah satu yang
sangat sukar dan memakan masa yang lama. Ini kerana ia terpaksa melalui berbagai-bagai
peringkat sehingga mendapat keizinan daripada Sultan atau Raja yang memerintah.
Proses mewartakan fatwa hanya akan berjalan lancar dan mengambil masa yang
singkat sekiranya ia adalah arahan daripada pihak berkuasa negeri atau pusat.
Sebagai contohnya ialah proses mengazetkan fatwa pengharaman aktiviti dan
kumpulan al-Arqam.
Ada juga fatwa yang telah berjaya diwartakan tetapi
penguatkuasaannya telah ditangguhkan kerana arahan daripada kerajaan negeri.
Kes ini berlaku kepada fatwa kedua mengenai rokok yang telah dikeluarkan oleh
Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor.Penguatkuasaannya telah
ditangguhkan melalui keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri
Selangor. Alasan penangguhan perlaksanaan fatwa ini ialah untuk menjaga
kepentingan kerajaan negeri dan masyarakat Islam yang terlibat dengan
perusahaan rokok.
Ada
fatwa yang telah diwartakan akan tetapi perlaksaannya telah dihalang oleh pihak
tertentu. Fatwa tersebut telah diarahkan supaya dibatalkan dan ditarik semula
oleh institusi fatwa yang mengeluarkannya dengan keizinan Duli yang Maha Mulia
Yang Di Pertuan Agong. Ini berlaku pada fatwa pengharaman upacara bertafakur di
Tugu Pahlawan pada Hari Pahlawan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa
Perunding Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Autoriti yang diberikan kepada
institusi fatwa terlalu rendah dan kurang. Institusi fatwa terlalu terdedah
kepada campur tangan pihak luar yang tidak ada kaitan dengan proses pengeluaran
fatwa. Ini bermakna institusi fatwa tidak mempunyai kebebasan dalam mengeluar
dan menguatkuasakan fatwa.
Kadang-kadang autoriti institusi fatwa berada lebih
rendah daripada autoriti suara rakyat dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan
kerajaan(NGO). Sebagai contoh di dalam masalah penajaan SUKOM oleh Carlsberg.
Institusi fatwa di Pulau Pinang telah mengeluarkan fatwa bahawa penajaan itu
adalah haram kerana Carlsberg menjalankan perniagaan yang haram dan hasil
daripada perniagaan itu adalah haram. Fatwa ini telah tidak dipedulikan oleh
pihak SUKOM dan tidak ada tindakan dari pihak berkuasa. Penajaan oleh Carlsberg
tetap diteruskan. Setelah menerima desakan daripada orang ramai dan pertubuhan
bukan kerajaan ,maka pihak berkuasa mengambil tindakan mengarahkan pihak SUKOM
mengkaji semula penajaan oleh Carlsberg tersebut.
Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana fatwa adalah
satu keputusan syarak yang melibatkan aktiviti masyarakat Islam semasa. Oleh
itu, ia perlu dipatuhi oleh semua pihak. Sekiranya perkara sebaliknya berlaku,
maka masyarakat Islam di Malaysia akan menganggap institusi fatwa yang ada
hanyalah suatu tempat bertanyakan soalan agama yang mereka bebas hendak
mengikut atau tidak hukum agama yang diberikan oleh institusi fatwa tersebut.
Pengaruh institusi fatwa terhadap aktiviti masyarakat Islam akan hilang dan
kewibawaannya akan dipandang rendah oleh semua orang. (Hasnan Kasan)
Cadangan Penyelesaian
Kemungkinan menyedari keadaan autoriti yang rendah dan
kurang itu sejak kebelakangan ini ada cadangan telah dikemukakan kepada
Kerajaan Negeri supaya mufti diberikan kedudukan yang lebih tinggi di dalam
pentadbiran negeri. Antara cadangan yang telah dikemukakan kepada kerajaan
negeri supaya mufti di setiap negeri dilantik sebagai exco dalam majlis
mesyuarat negeri (Abdul Monir Yaacob).
Hasil daripada cadangan ini, Perlis mengambil langkah
melantik Mufti Kerajaan Negeri Perlis sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tujuan perlantikan ini ialah bagi membolehkan Mufti memberikan pandangannya
dalam perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut secara langsung.
Manakala negeri-negeri lain belum ada yang mengambil langkah melantik Mufti
Kerajaan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri(Hasnan Kasan)
Selain itu, menurut pandangan ana, Muzakarah
Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga perlu
meneliti kembali proses pengeluaran fatwa di Malaysia yang mengambil masa
terlalu lama untuk dikeluarkan. Menetapkan standard masa bagi setiap proses
mungkin boleh menyelesaikan masalah ini. Ketiadaan standard masa kepada proses ini
akan menyebabkan sesuatu fatwa itu memakan masa yang lama untuk dikeluarkan.
Oleh itu, dengan fatwa yang benar dan tepat dapat menjamin keamanan dan perlaksanaan syariat serta Islam dapat dijalankan tanpa gangguan mana-mana pihak lagi kerana telah menjadi peraturan untuk masyarakat Malaysia mengikutinya. Justeru fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Wallahua'lam (n_n)