Assalamualaikum
Kekok. Sudah lama tak update blog kan. Entry kali ni dibawah subjek Undang-undang Tort Perbandingan yang mana subjek ini ana belajar dalam semester 5 di UKM. Perkataan 'tort' itu berasal daripada perkataan Latin. Tort dari sudut bahasa bermakna kesalahan. Semua tort adalah kesalahan, tetapi tidak semua kesalahan itu adalah tort. Ini kerana mungkin sesuatu kesalahan itu terletak di bawah undang-undang kontrak, jenayah, keluarga, amanah dan sebagainya.
Pensyarah yang mengajar adalah Prof. Dr. Abdul Basir Bin Mohamad. Pensyarah yang tersangatlah baik dan sempoi. Suaranya agak kuat dan bersemangat ketika mengajar ^_^ (i miss him). Ini adalah tugasan individu yang diberikan kepada ana. Cari kes dan ulas how this case could be judge by islamic law of tort. Ana memilih kes Julaika Bibi v Mydin [1961] MLJ 310 dibawah tajuk pencerobohan ab initio.
Undang-Undang Tort
Kes
Julaika Bibi v Mydin [1961] MLJ 310
Apa itu pecerobohan AB
INITIO?
Pencerobohan ini
merujuk kepada keadaan di mana pada awalnya kemasukan defendan ke dalam tanah
plaintif adalah dibenarkan oleh undang-undang, tetapi kemudiannya defendan melakukan
sesuatu yang bertentangan dengan tujuan asal kemasukannya, maka defendan dikira
sebagai telah melakukan pencerobohan dari awalnya.
Fakta Kes
Kes Julaika Bibi
v Mydin [1961] MLJ 310 adalah di bawah tajuk pencerobohan terhadap tanah
dan di bawah sub topik pecerobohan ab initio. Kes ini menceritakan
tentang milikan di bawah Lesen Tumpangan Sementara (Temporary Occupational
Licence (TOL)). Milikan bermaksud sama ada menduduki tanah itu atau mempunyai
kawalan fizikal ke atas tanah itu. Dalam kes ini, terdapat dua Lesen Tumpangan
Sementara ke atas sebuah rumah. Lesen pertama yang dipegang oleh defendan
membenarkannya menduduki rumah tersebut. Setelah beberapa lama, lesen defendan
itu dibatalkan dan plaintif kemudiannya memperolehi suatu lesen yang baru ke atas
rumah yang sama. Apabila plaintif berpindah masuk, plaintif mendapati bahawa
defendan masih mendiami rumah itu. Plaintif mengambil tindakan di bawah tort
pencerobohan. Diputuskan:
(1) tindakan untuk pengusiran dalam tort akan berada di
atas kehendak seorang pemegang Lesen Pendudukan Sementara terhadap penceroboh;
(2) walaupun pemegang asal Lesen Pendudukan Sementara
iaitu Plaintif, memasuki kawasan milik defendan, dia tidak akan dikira sebagai
penceroboh. Namun sebaliknya bagi defendan. Defendan dikira sebagai penceroboh
apabila lesen sebelumnya telah dibatalkan dengan persetujuan pemegang dan Lesen
Pendudukan Sementara yang baru telah dikeluarkan;
(3) walaupun jika defendan tidak menceroboh tanah
tersebut, plaintif berhak untuk mendapatkan kembali milikannya
berdasarkan fakta dan pernyataan tuntutan yang dikemukakan.
Hakim di dalam kes
ini meragui ketepatan pernyataan pembelaan defendan. Defendan tidak
mengemukakan sebarang bukti untuk mengatakan tanah tersebut dalam milikannya
sedangkan plaintif membawa saksi-saksinya. Beliau seterusnya mengatakan, saya
yakin bahawa prosiding ini adalah betul dipertahankan oleh plaintif dalam kes
ini dan tindakan untuk pengusiran dalam tort akan berada di atas kehendak
seorang pemegang Lesen Pendudukan Sementara terhadap penceroboh. Oleh itu, Mahkamah
memutuskan bahawa permohonan plaintif diterima dan plaintif berhak menuntut
daripada defendan kerana seorang pemegang Lesen Tumpangan Sementara berhak
untuk mengambil tindakan ke atas seseorang penceroboh.
Dari sudut pandang Sivil
Hak untuk membuat
tuntutan adalah terhad kepada plaintif yang mempunyai milikan terhadap tanah
sahaja. Oleh yang demikian, plaintif iaitu Julaika Bibi berhak ke atas tanah
tersebut dan defendan dikira sebagai penceroboh ab initio. Walaupun pada
asalnya defendan mempunyai Lesen Tumpangan Sementara namun ia telah dibatalkan
sedangkan plaintif memperolehi suatu lesen yang baru ke atas rumah yang sama.
Hak memasuki suatu kawasan yang diberikan oleh
undang-undang kepada seseorang telah disalahgunakan oleh defendan. Hal ini
cukup jelas kerana apabila lesen defendan telah dibatalkan, defendan tidak
keluar daripada tanah tersebut malahan defendan terus-terusan menduduki
tanah/rumah tersebut. Maka setiap tindakan yang dilakukannya dikira suatu
kesalahan sejak mula hak itu diberikan bukan bermula dari waktu dia melakukan
kesalahan tersebut.
Terdapat
dua elemen penting yang boleh diketengahkan untuk mengatakan seseorang itu
dikira sebagai penceroboh ab initio iaitu:
- Tindakan memasuki sesuatu tempat semestinya telah dibenarkan oleh
undang-undang.
- Tindakan salah yang dilakukan oleh seseorang itu semestinya berbentuk
perlakuan sesuatu perbuatan yang menyalahi undang-undang (malfeasance).
Dalam
kes ini, kedua-dua elemen di atas memenuhi serta bertepatan dengan defendan.
Oleh itu, defendan telah melakukan pencerobohan ab initio.
Di
samping itu, undang-undang tort sivil membahagikan jenis-jenis milikan terhadap
sesebuah tanah iaitu milikan secara undang-undang, milikan secara fakta,
milikan serta-merta, milikan bersama dan milikan di bawah Lesen Tumpangan
Sementara (Temporary Occupational Licence (TOL)). Seperti yang dinyatakan di
atas, kes ini di bawah milikan Lesen Tumpangan Sementara atau TOL.
Dari sudut pandang Syariah
How this case could be judge by islamic law of tort?
Sekiranya kes ini diadili menurut undang-undang tort Islam, jelas bahawa tindakan
defendan adalah sesuatu yang dilarang. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh
yang berkaitan dengan pencerobohan ab initio iaitu merujuk kepada kaedah
fiqh berikut:
الجواز الشرعي ينافي الضمان
Maksudnya, keharusan yang diberikan oleh syarak menafikan
tanggungan terhadap sebarang pembayaran pampasan. Menurut kaedah ini sebarang
perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang melampaui atau melebihi kebenaran
yang diberikan oleh undang-undang adalah dilarang dan ditegah. Tindakan
defendan sudah dikira melampaui kebenaran undang-undang yang sepatutnya kerana
sewaktu lesen defendan dibatalkan seharusnya defendan keluar daripada
tanah/rumah tersebut oleh sebab defendan sudah tiada hak ke atas tanah itu
walaupun tindakan memasuki tanah itu pada awalnya sah di sisi undang-undang. Maka
defendan dikira telah melakukan pencerobohan ab initio dengan
tindakannya yang terus mendiami tanah/rumah itu. Hanya plaintif yang berhak ke
atas tanah/rumah tersebut setelah plaintif mendapat suatu lesen yang baru ke
atas rumah tersebut.
Tanggungan yang dimaksudkan menurut kaedah fiqh ini ialah
tanggungan yang wujud disebabkan pencerobohan ab initio. Ia boleh
ditanggapi secara umum dalam undang-undang tort Islam apabila merujuk kes
sewaan binatang. Sekiranya penyewa melakukan sesuatu tindakan yang melampau
atau bertentangan dengan tindakan yang dibenarkan, maka dia bertanggungan.
Sebagai contoh, binatang sewaan mengalami kecederaan akibat dibebankan dengan
muatan besi, sedangkan binatang itu pada asalnya disewakan untuk membawa muatan
buah-buahan. Penyewa binatang boleh dianggap sebagai penceroboh ab initio
secara umum dan dia bertanggungan terhadap kecederaan yang dialami oleh
binatang sewaan itu.
Berbalik kepada kes yang dibincangkan ini, sekiranya
defendan menyebabkan kerosakan atau kecacatan terhadap rumah yang didiami itu,
maka defendan bertanggungjawab tehadap kerosakan rumah tersebut. Mengikut
undang-undang Islam, dalam kes memasuki tanah milik seseorang, pihak yang telah
diberi kuasa oleh undang-undang untuk memasukinya, tidak boleh menyalahgunakan
kuasa yang diberikan. Jika penyalahgunaan kuasa berlaku, maka pihak tersebut
dikira sebagai penceroboh ab initio ataupun dikenali sebagai muta’addi.
Tindakan pencerobohan ke atas tanah orang lain, sama ada dilakukan oleh
individu kepada individu atau negara ke atas negara lain, sama sekali tidak
dibenarkan oleh undang-undang Islam.
Dalam undang-undang tort Islam elemen pencerobohan ab
initio berdasarkan kaedah fiqh di atas ialah:
· Tindakan
yang telah dilakukan oleh seseorang itu melampaui kebenaran yang telah
diberikan oleh undang-undang.
· Penceroboh
ab initio adalah bertanggungan sekiranya berlaku kecacatan atau
kerosakan terhadap rumah/tanah.
Dalam
kes ini, elemen pertama bertepatan dengan defendan kerana lesen TOL defendan
telah dibatalkan dan sepatutnya defendan perlu keluar daipada tanah/rumah
tersebut. Jika berlaku kecacatan atau kerosakan, penceroboh ab initio
adalah bertanggungan berdasarkan elemen kedua.
Di
samping itu, undang-undang tort Islam tidak membahagikan jenis-jenis milikan
terhadap sesebuah tanah. Apa yang penting ialah milikan seseorang terhadap
sesebuah tanah perlulah sah di sisi undang-undang.
Daripada
perbincangan di atas, didapati tiada perbezaan yang besar sekiranya kes Julaika
Bibi v Mydin diadili menurut undang-undang tort Islam. Dapatlah dirumuskan
bahawa, seseorang yang telah diberi kuasa undang-undang, tidak boleh
menyalahgunakan kuasa tersebut atau melakukan tindakan yang melampaui kuasa
yang telah diberikan. Jika tindakan memasuki tanah milik orang lain masih perlu
dilakukan, maka tindakan itu tidak boleh dibuat sesuka hati, tetapi perlu
mengikut cara dan prosedur yang sewajarnya. Jika tidak, seseorang itu boleh
didakwa sebagai penceroboh ab initio.
Dari sudut pandang syariah itu adalah pandangan dan pemahaman ana sahaja dan melihat kepada buku rujukan tulisan prof. Masa ana present tu pun prof setuju dengan apa yang ana bahaskan. Alhamdulillah. Ana seronok belajar subjek ni sebab its simple dan sangatlah menarik ok. Ha, bawah ni adalah gambar kenangan kami setelah habis satu semester belajar subjek ni.ehe
Semoga entry ini bermanfaat.
Superb.
ReplyDeleteNice sharing.
thanks :)
Delete