Wednesday, 22 April 2015

Metodologi Dakwah Nabi Muhammad SAW

Assalamualaikum.

Entry kali ini tentang metodologi atau kaedah dakwah nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Satu nikmat yang besar di antara nikmat-nikmat lain yang dikurniakan Tuhan kepada manusia adalah diutuskan Nabi. Allah, rindunya kita pada Rasulullah kan. Cuba kita duduk sendirian dan membaca kisah perjuangan Rasulullah SAW, kita hayati dan fahami, pasti berlinang air mata kita. Allah. Cuba. Andai masih ada secebis iman dalam hati kita, pasti akan rasa rindunya kita pada Rasulullah SAW. Sungguh. Perasaan taajub dengan kesabaran kekasih Allah ini sangat menyentuh hati.

Ala kulli hal, ini merupakan assignment ana bergandingan bersama nadiaelena untuk subjek Metodologi Dakwah. Kami masuk kelas Ustaz Muhamad Zulkifli bin Abdul Ghani. Ustaz yang sangat baik, comel dan petah berkata-kata. Yang menariknya kami ambil subjek ini bersama dengan senior-senior Jabatan Syariah. Saja kami drag subjek ini ke tahun 1 sebab nak ambil awal la kononnya. So, kelas tutorial pun dengan senior-senior hebat la. Seingat ana dengan senior Saiful Amal, Syafiq Asyraf, Helmi Padiaq dan geng2 mereka yang lain. Depa ni sume hebat belaka. MasyaAllah, mereka present mengalahkan CEO gituw. Percakapan yang lancar, sempoi, ada point, keyakinan yang tinggi semua lengkap la. Kami adik junior tahun 1 ni apalah sangat.

Btw, kami memang buat sehabis baik presentation waktu tu demi membuktikan kuasa junior! aha. Tambahan pula, nadiaelena sememangnya hebat dalam berkata-kata. Sesungguhnya ada manfaat kami masuk kelas bersama senior ni. Kami dapat lihat cara mereka dan ia mendorong kami untuk buat yang terbaik samaada dari segi mencari bahan bacaan yang berkualiti, point yang mantap sehinggalah kepada cara penyampaian yang baik dan menarik perhatian pendengar.

Berikut merupakan rumusan isi assignment kami berkenaan dengan metodologi dakwah Rasulullah.


Antara metodologi dakwah Nabi Muhammad SAW ialah:
  • Contoh teladan melalui perkataan dan sahsiah.
  • Dar al-Qurra
  • Jihad
  • Kuttab
  • Piagam Madinah
  • Mukjizat Sebagai Dakwah
  • Perutusan Surat Kepada Para Raja dan Pemerintah


Contoh teladan melalui perkataan dan sahsiah

Mukmin yang soleh merupakan sebaik-baik penasihat dan pendakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah. Akhlaknya yang mulia menjadi daya penarik jiwa dan perasaan orang untuk mengikutinya. Pendakwah yang berjaya ialah seorang yang sentiasa menunjukkan dasar yang benar yang dibuktikan dengan amalan dan perbuatannya kerana dia menjadi contoh gambaran hidup yang bergerak atas prinsip yang dianutinya. (Ghazali Darusalam, hlm. 31)

        Segala tutur kata, adab sopan dan sifat merendah diri serta memuliakan tetamu Rasulullah SAW tanpa mengira muslim atau bukan, telah memikat sanubari orang bukan Islam untuk menerima Islam. Muhammad bin Abdullah ialah seorang Rasul Allah berakhlak mulia yang sentiasa membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk berhujah bagi menentukan kebenaran Islam. Dalam situasi apa pun baginda tidak pernah memaksa manusia untuk menerima Islam. Dengan akhlak, tutur kata yang lemah lembut dan sahsiah yang baik inilah telah memikat orang bukan Islam untuk mendekati Islam dan secara tidak langsung contoh teladan yang baik merupakan kaedah dakwah baginda Rasulullah.

Dar al-Qurra

Ia adalah rumah Malik bin Naufal yang sengaja dikhususkan sebagai tempat berkumpulnya para sahabat yang berminat menghafal dan membaca ayat-ayat al-Quran. Walaupun ada riwayat lain yang menyatakan bahawa Dar al-Qurra ini bertindak sebagai asrama pelatih yang tidak dapat ditampung di al-Suffah, tetapi tempat belajar mereka tetap di Pusat Dakwah al-Suffah.


Jihad

Islam menyeru ke arah jihad (perang). Memang perang terhadap musuh adalah sebahagian daripada kewajipan dalam Islam. Perang dalam Islam bukan kerana dengki atau berdendam, tetapi disebabkan kerja-kerja Islam telah diganggu dan dikhianati pihak yang memusuhi. (Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, hlm. 104)Tidak mudah bagi Arab Quraisy untuk menukar persepsi buruk mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam, kecuali setelah jatuhnya kota Mekah ke dalam kekuasaan baginda. Puak Saqif yang berkuasa di Thaif tidak yakin boleh mencapai kemenangan melalui peperangan, mereka sedar Islam semakin berkembang, pengikut Rasulullah SAW dari tahun ke tahun kian bertambah ramai. 

     Bayangkan 200,000 tentera Rom yang terlatih terpaksa melarikan diri dari medan Tabuk, kerana merasa gerun terhadap kehebatan Rasulullah SAW dan tenteranya. Justeru itu, puak Saqif tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menukar sikap daripada menentang kepada menyokong baginda.(Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, hlm. 96-97). Seluruh kaum Arab berpendapat tiada lagi di kalangan bangsa Arab yang berupaya memerangi Rasulullah SAW, jauh sekali untuk menewaskannya. Mereka terpaksa menukar strategi daripada berlawan kepada berkawan. Tidak mampu berdebat, mereka mencari jalan untuk bersahabat. Akhirnya mereka beramai-ramai memeluk Islam seperti yang ditegaskan oleh firman Allah SWT:

Maksudnya:
Apabila Telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya  Dia adalah penerima taubat. (al-Nasr 110: 1-3)

Kuttab

Institusi ini berupa tempat pengajian bagi kanak-kanak lslam yang memerlukan pentarbiahan, terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bacaan al-Quran. Abdullah bin Masud menyatakan bahawa beliau bersama Zaid bin Thabit pernah belajar al-Quran sebanyak 70 surah secara talaqqi di hadapan Nabi SAW di kuttab, sewaktu ia masih kecil.


Piagam Madinah

Sebelum kedatangan Islam, kota Madinah tidak pernah mengenal sebarang bentuk negara. Kehidupan masyarakat Arab ketika itu tidak teratur dan tidak ada sebarang peruntukan undang-undang. Undang-undang hanya tertakluk kepada kekuatan suku kaum masing-masing. Kekuatan suku dan bangsa menjadi perlembagaan yang dipatuhi oleh mereka. Dalam kehidupan mereka disifatkan sebagai kehidupan yang tidak teratur.

         Apabila Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya, Rasulullah SAW telah membentuk satu peraturan yang bertujuan meletakkan manusia di bawah satu peraturan hidup. Rasulullah SAW merupakan orang yang mula-mula sekali memberi bentuk sebuah negara yang pertama, bahkan lebih daripada itu bagindalah yang pertama merangka sebuah perlembagaan negara yang bertulis (Piagam Madinah). Dalam perlembagaan yang bersifat persekutuan ini, Rasulullah SAW bukan sahaja menjadi pemimpin kepada orang Islam, tetapi juga kepada orang Yahudi dan orang yang masih belum menganut Islam. (Ghazali Darusalam, hlm. 72)

      Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa konsep keadilan dan kedaulatan undang-undang memang diberikan jaminan yang sepenuhnya. Seseorang itu dihukum lantaran kesalahannya dan hukuman dijalankan ke atas pesalah tanpa mengira kedudukannya. Sesiapa yang melakukan kejahatan maka balasannya akan diterima oleh dirinya dan keluarganya kecuali dia dizalimi dan mencari langkah untuk membela diri. Setiap orang yang menjunjung piagam ini percaya kepada Allah dan hari kiamat tidaklah dibenarkan membantu orang yang bersalah dan memberikan perlindungan kepada mereka. Sesiapa yang didapati memberi perlindungan kepada pesalah akan menerima kutukan dan kemurkaan Allah pada hari kiamat. Piagan Madinah ini secara tidak langsung telah memberi satu sinar bagi penduduk kota dalam menjalani kehidupan yang teratur di bawah undang-undang Islam yang adil tanpa sebarang penindasan kepada golongan yang lemah atau miskin. Piagam ini menggambarkan keindahan Islam kepada mereka.


Mukjizat Sebagai Dakwah


Mukjizat adalah sesuatu yang boleh melemahkan kekuatan manusia, baik kekuatan zahir mahupun batin, kekuatan jasmani atau rohani, sehingga manusia tidak mampu melakukan, menyerupai, menandingi, menolak mahupun malawannya. Ia sesuatu yang luar biasa yang terjadi pada diri seorang nabi atau Rasul Allah dalam gerakan dakwahnya sebagai nabi atau Rasul, dan seorang manusia biasa tidak akan mampu malakukan hal seperti itu.
            
   Mukjizat bertujuan untuk memperkuat seruan dan dakwah Rasulullah SAW kepada umat Baginda terutama kepada orang-orang yang belum atau tidak mahu percaya terhadap kenabian dan kerasulan Baginda. Allah memberikan mukjizat kepada Rasulullah SAW untuk memberikan bukti bahawa Baginda benar-benar nabi dan Rasul-Nya. Oleh itu mukjizat merupakan uslub dakwah yang Rasulullah SAW gunakan dalam menyebarkan Islam.

          Antara mukjizat Rasulullah SAW yang paling agung ialah al-Quran. Allah SWT membuat suatu hujah dan alasan yang kukuh bagi nabi-Nya yang terakhir, iaitu al-Quran yang melemahkan segala kekuatan manusia dengan petunjuk dan ilmu-Nya.(Muhammad Syafii Antoniohlm.186-188) Antara keistimewaan al-Quran ialah tingkat fasahah dan balaghah yang tinggi, terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan, satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan serta merupakan panduan kepada umat Nabi Muhammad SAW sehingga akhir zaman.(http://www.ipislam.edu.my) Sehingga hari ini al-Quran adalah rujukan utama bagi para pendakwah dalam menyebarkan dakwah Islam. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr 15 : 9)

       Dengan mendengar alunan bacaan al-Quran, seseorang akan tertarik dengan ayat dan makna yang terkandung di dalamnya. Perkara ini jelas ditunjukkan dalam keislaman Umar al-Khattab. Selain itu, salah seorang tokoh Quraisy yang paling menentang Rasulullah SAW adalah Walid bin Mughirah. Pada suatu waktu dikala dia mendengarkan sebahagian ayat-ayat al-Quran dibacakan Nabi Muhammad SAW kepadanya, ia meminta diulangi. Lalu ia berkata, “Demi Allah, sungguh itu adalah kata-kata yang sangat manis dan lembut...”(Muhammad Syafii Antonio, hlm.209)


Perutusan surat kepada raja dan para pemerintah


Nabi Muhammad s.a.w ingin menyeru segenap umat manusia daripada segala bangsa kepada Islam. Untuk itu, baginda mengirimkan surat dakwah kepada para raja (atau wakilnya) di sekitar negeri Hijaz. Langkah yang diambil oleh nabi itu tidak dapat dilaksanakan jika para sahabat tidak mahu membawa surat-surat dakwah baginda itu.
            
    Nabi menjelaskan kepada para sahabat, baginda hendak mengutus mereka membawa surat dakwah kepada Raja Heraklius, Raja Kisra, Raja Muqauqis, Harits al-Ghassani (Raja Hirah), Harits al-Yamani (Raja Yaman) dan Raja Najasyi di Habsyah untuk mengajak mereka memeluk agama Islam. Para sahabat mengerti apa yang dikehendaki oleh nabi. Mereka menyatakan kesediaan melaksanakan apa yang baginda perintahkan.
            
           Nabi memulai langkah dakwahnya kepada para penguasa di setiap negeri yang terletak di sekitar Tanah Arab, terutama kepada Raja Heraklius (Kaisar Romawi Timur) dan Kisra (Maharaja Parsi pada masa itu). Pada saat itu, nabi mempunyai kesempatan yang baik untuk membulatkan tenaga dan fikiran bagi meneguhkan kedudukan Islam ke luar dari Jazirah Arab. Apalagi, pada saat itu ajaran dan petunjuk Islam yang diterima oleh baginda sudah naik ke tingkat dewasa dan sempurna, yang sudah sepatutnya diikuti oleh segenap umat manusia. 

   Sedangkan, musuh Islam yang utama dan terkuat iaitu kaum musyrikin Quraisy, pada ketika itu sedang terikat dengan perjanjian damai dengan kaum Muslimin. Demikian pula musuh Islam yang sangat bahaya iaitu kaum Yahudi di sekeliling kota Madinah pada masa itu sudah dapat dikatakan musnah kesemuanya. Kesempatan yang baik itu benar-benar dipergunakan oleh Nabi bagi menyampaikan dakwahnya kepada para penguasa di sekitar Jazirah Arab. Pada masa itu, surat-surat yang dikirim tidak dibaca oleh penerimanya jika tidak ada cap pengirimnya. Oleh itu, Nabi menyuruh dibuatkan sebuah cap berbentuk cincin daripada perak yang berukir tiga baris perkataan iaitu ‘Muhammad’, ‘Rasul’ dan ‘Allah’. Kata ‘Muhammad’ diukir di baris bawah, kata ‘Rasul’ diukir di baris tengah, dan kata ‘Allah’ diukir di baris atas.

       Setelah siap cincin itu, baginda memakai dan menggunakannya sebagai cap (tanda tangan) surat-surat yang dikirim kepada orang lain. Cincin ini dikatakan digunakan pula seterusnya oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman untuk menandatangani surat-surat rasmi. Antara sahabat yang terlibat sebagai penghantar surat nabi termasuklah Amr bin Umayyah al-Dhamri, Dihyah bin Khaluah al-Kalbi, Abdullah bin Huzaifah al-Sahmi, Hathlib bin Abi Balta’ah al-Lakhmi dan Syujak bin Wahab al-Asadi. Di samping itu, Nabi juga memanggil beberapa penulis untuk menuliskan surat-surat yang akan dikirimkan itu. (K.H. Moenawar, hlm. 624-627)

      Menurut riwayat, salah seorang penulis surat dakwah Nabi Muhammad SAW adalah Ubayya bin Ka’ab di mana surat itu akan diberikan kepada dua orang Raja Oman. Surat itu kemudiannya dibawa oleh Amer bin Ash ke Oman untuk disampaikan kepada kedua raja tersebut.(K.H Moenawar Chalil,hlm. 159-160)


Selain daripada kaedah di atas, metodologi lain yang Rasulullah SAW gunakan ialah mempersaudarakan muhajirin dan ansar, memberi ceramah dan menggunakan masjid dalam menyampaikan dakwah. Nabi Muhammad SAW merupakan model yang lengkap dan sempurna. Baik dari segi percakapannya, akhlaknya, cara Baginda menyampaikan dakwah dan seluruh tindak-tanduknya dalam kehidupan perlu kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Rasulullah SAW melaksanakan penyiaran agama Allah kepada semua manusia dengan bijaksana dan hikmah. Baginda tidak menggunakan paksaan dan kekerasan, apalagi mencela dan memaki secara yang tidak sopan. Mad’u dapat ditarik dengan kebijaksanaan dan bukan dengan kekerasan serta dapat diseru dengan nasihat pengajaran atau nasihat yang cukup dan mudah difahami mengikut petunjuk al-Quran. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi tercinta, Muhammad SAW yang menjadi contoh teladan utama bagi menjadi Muslim sejati yang sentiasa berada dalam keredaanNya. Wallahua’lam.



Sumber:
1. Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah.
2. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Muhammad SAW Jejak Junjungan Mulia.
3. Muhammad Syafii Antonio, Ensiklopedia Leadership& Management Muhammad s.a.w.
4. K.H. Moenawar, Ensiklopedia Sejarah Muhammad-Gemilang Sebuah Empayar.
5. K.H Moenawar Chalil, Sejarah Lengkap Sirah Nabi Muhammad S.A.W. Jilid 6.
6. http://www.ipislam.edu.my




2 comments: