Saturday, 6 December 2014

Ulasan kes Undang-undang Tort


Assalamualaikum

Kekok. Sudah lama tak update blog kan. Entry kali ni dibawah subjek Undang-undang Tort Perbandingan yang mana subjek ini ana belajar dalam semester 5 di UKM. Perkataan 'tort' itu berasal daripada perkataan Latin. Tort dari sudut bahasa bermakna kesalahan. Semua  tort adalah kesalahan, tetapi tidak semua kesalahan itu adalah tort. Ini kerana mungkin sesuatu kesalahan itu terletak di bawah undang-undang kontrak, jenayah, keluarga, amanah dan sebagainya. 


Pensyarah yang mengajar adalah Prof. Dr. Abdul Basir Bin Mohamad. Pensyarah yang tersangatlah baik dan sempoi. Suaranya agak kuat dan bersemangat ketika mengajar ^_^ (i miss him). Ini adalah tugasan individu yang diberikan kepada ana. Cari kes dan ulas how this case could be judge by islamic law of tort. Ana memilih kes Julaika Bibi v Mydin [1961] MLJ 310 dibawah tajuk pencerobohan ab initio.


Undang-Undang Tort
Kes Julaika Bibi v Mydin [1961] MLJ 310


Apa itu pecerobohan AB INITIO?

Pencerobohan ini merujuk kepada keadaan di mana pada awalnya kemasukan defendan ke dalam tanah plaintif adalah dibenarkan oleh undang-undang, tetapi kemudiannya defendan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tujuan asal kemasukannya, maka defendan dikira sebagai telah melakukan pencerobohan dari awalnya.


Fakta Kes

Kes Julaika Bibi v Mydin [1961] MLJ 310 adalah di bawah tajuk pencerobohan terhadap tanah dan di bawah sub topik pecerobohan ab initio. Kes ini menceritakan tentang milikan di bawah Lesen Tumpangan Sementara (Temporary Occupational Licence (TOL)). Milikan bermaksud sama ada menduduki tanah itu atau mempunyai kawalan fizikal ke atas tanah itu. Dalam kes ini, terdapat dua Lesen Tumpangan Sementara ke atas sebuah rumah. Lesen pertama yang dipegang oleh defendan membenarkannya menduduki rumah tersebut. Setelah beberapa lama, lesen defendan itu dibatalkan dan plaintif kemudiannya memperolehi suatu lesen yang baru ke atas rumah yang sama. Apabila plaintif berpindah masuk, plaintif mendapati bahawa defendan masih mendiami rumah itu. Plaintif mengambil tindakan di bawah tort pencerobohan. Diputuskan:

(1)  tindakan untuk pengusiran dalam tort akan berada di atas kehendak seorang pemegang Lesen Pendudukan Sementara terhadap penceroboh;

(2)  walaupun pemegang asal Lesen Pendudukan Sementara iaitu Plaintif, memasuki kawasan milik defendan, dia tidak akan dikira sebagai penceroboh. Namun sebaliknya bagi defendan. Defendan dikira sebagai penceroboh apabila lesen sebelumnya telah dibatalkan dengan persetujuan pemegang dan Lesen Pendudukan Sementara yang baru telah dikeluarkan;

(3) walaupun jika defendan tidak menceroboh tanah tersebut, plaintif berhak untuk mendapatkan kembali milikannya berdasarkan fakta dan pernyataan           tuntutan yang dikemukakan.

Hakim di dalam kes ini meragui ketepatan pernyataan pembelaan defendan. Defendan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk mengatakan tanah tersebut dalam milikannya sedangkan plaintif membawa saksi-saksinya. Beliau seterusnya mengatakan, saya yakin bahawa prosiding ini adalah betul dipertahankan oleh plaintif dalam kes ini dan tindakan untuk pengusiran dalam tort akan berada di atas kehendak seorang pemegang Lesen Pendudukan Sementara terhadap penceroboh. Oleh itu, Mahkamah memutuskan bahawa permohonan plaintif diterima dan plaintif berhak menuntut daripada defendan kerana seorang pemegang Lesen Tumpangan Sementara berhak untuk mengambil tindakan ke atas seseorang penceroboh.


Dari sudut pandang Sivil

Hak untuk membuat tuntutan adalah terhad kepada plaintif yang mempunyai milikan terhadap tanah sahaja. Oleh yang demikian, plaintif iaitu Julaika Bibi berhak ke atas tanah tersebut dan defendan dikira sebagai penceroboh ab initio. Walaupun pada asalnya defendan mempunyai Lesen Tumpangan Sementara namun ia telah dibatalkan sedangkan plaintif memperolehi suatu lesen yang baru ke atas rumah yang sama.

Hak memasuki suatu kawasan yang diberikan oleh undang-undang kepada seseorang telah disalahgunakan oleh defendan. Hal ini cukup jelas kerana apabila lesen defendan telah dibatalkan, defendan tidak keluar daripada tanah tersebut malahan defendan terus-terusan menduduki tanah/rumah tersebut. Maka setiap tindakan yang dilakukannya dikira suatu kesalahan sejak mula hak itu diberikan bukan bermula dari waktu dia melakukan kesalahan tersebut.

Terdapat dua elemen penting yang boleh diketengahkan untuk mengatakan seseorang itu dikira sebagai  penceroboh ab initio iaitu:

  • Tindakan memasuki sesuatu tempat semestinya telah dibenarkan oleh undang-undang.
  • Tindakan salah yang dilakukan oleh seseorang itu semestinya berbentuk perlakuan sesuatu perbuatan yang menyalahi undang-undang (malfeasance).

Dalam kes ini, kedua-dua elemen di atas memenuhi serta bertepatan dengan defendan. Oleh itu, defendan telah melakukan pencerobohan ab initio.

Di samping itu, undang-undang tort sivil membahagikan jenis-jenis milikan terhadap sesebuah tanah iaitu milikan secara undang-undang, milikan secara fakta, milikan serta-merta, milikan bersama dan milikan di bawah Lesen Tumpangan Sementara (Temporary Occupational Licence (TOL)). Seperti yang dinyatakan di atas, kes ini di bawah milikan Lesen Tumpangan Sementara atau TOL.


Dari sudut pandang Syariah

How this case could be judge by islamic law of tort?

Sekiranya kes ini diadili menurut undang-undang tort Islam, jelas bahawa tindakan defendan adalah sesuatu yang dilarang. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang berkaitan dengan pencerobohan ab initio iaitu merujuk kepada kaedah fiqh berikut:

الجواز الشرعي ينافي الضمان

Maksudnya, keharusan yang diberikan oleh syarak menafikan tanggungan terhadap sebarang pembayaran pampasan. Menurut kaedah ini sebarang perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang melampaui atau melebihi kebenaran yang diberikan oleh undang-undang adalah dilarang dan ditegah. Tindakan defendan sudah dikira melampaui kebenaran undang-undang yang sepatutnya kerana sewaktu lesen defendan dibatalkan seharusnya defendan keluar daripada tanah/rumah tersebut oleh sebab defendan sudah tiada hak ke atas tanah itu walaupun tindakan memasuki tanah itu pada awalnya sah di sisi undang-undang. Maka defendan dikira telah melakukan pencerobohan ab initio dengan tindakannya yang terus mendiami tanah/rumah itu. Hanya plaintif yang berhak ke atas tanah/rumah tersebut setelah plaintif mendapat suatu lesen yang baru ke atas rumah tersebut.

Tanggungan yang dimaksudkan menurut kaedah fiqh ini ialah tanggungan yang wujud disebabkan pencerobohan ab initio. Ia boleh ditanggapi secara umum dalam undang-undang tort Islam apabila merujuk kes sewaan binatang. Sekiranya penyewa melakukan sesuatu tindakan yang melampau atau bertentangan dengan tindakan yang dibenarkan, maka dia bertanggungan. Sebagai contoh, binatang sewaan mengalami kecederaan akibat dibebankan dengan muatan besi, sedangkan binatang itu pada asalnya disewakan untuk membawa muatan buah-buahan. Penyewa binatang boleh dianggap sebagai penceroboh ab initio secara umum dan dia bertanggungan terhadap kecederaan yang dialami oleh binatang sewaan itu.

Berbalik kepada kes yang dibincangkan ini, sekiranya defendan menyebabkan kerosakan atau kecacatan terhadap rumah yang didiami itu, maka defendan bertanggungjawab tehadap kerosakan rumah tersebut. Mengikut undang-undang Islam, dalam kes memasuki tanah milik seseorang, pihak yang telah diberi kuasa oleh undang-undang untuk memasukinya, tidak boleh menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Jika penyalahgunaan kuasa berlaku, maka pihak tersebut dikira sebagai penceroboh ab initio ataupun dikenali sebagai muta’addi. Tindakan pencerobohan ke atas tanah orang lain, sama ada dilakukan oleh individu kepada individu atau negara ke atas negara lain, sama sekali tidak dibenarkan oleh undang-undang Islam.

Dalam undang-undang tort Islam elemen pencerobohan ab initio berdasarkan kaedah fiqh di atas ialah:

·      Tindakan yang telah dilakukan oleh seseorang itu melampaui kebenaran yang telah diberikan oleh undang-undang.

·      Penceroboh ab initio adalah bertanggungan sekiranya berlaku kecacatan atau kerosakan terhadap rumah/tanah.

Dalam kes ini, elemen pertama bertepatan dengan defendan kerana lesen TOL defendan telah dibatalkan dan sepatutnya defendan perlu keluar daipada tanah/rumah tersebut. Jika berlaku kecacatan atau kerosakan, penceroboh ab initio adalah bertanggungan berdasarkan elemen kedua.

Di samping itu, undang-undang tort Islam tidak membahagikan jenis-jenis milikan terhadap sesebuah tanah. Apa yang penting ialah milikan seseorang terhadap sesebuah tanah perlulah sah di sisi undang-undang.

Daripada perbincangan di atas, didapati tiada perbezaan yang besar sekiranya kes Julaika Bibi v Mydin diadili menurut undang-undang tort Islam. Dapatlah dirumuskan bahawa, seseorang yang telah diberi kuasa undang-undang, tidak boleh menyalahgunakan kuasa tersebut atau melakukan tindakan yang melampaui kuasa yang telah diberikan. Jika tindakan memasuki tanah milik orang lain masih perlu dilakukan, maka tindakan itu tidak boleh dibuat sesuka hati, tetapi perlu mengikut cara dan prosedur yang sewajarnya. Jika tidak, seseorang itu boleh didakwa sebagai penceroboh ab initio.

Dari sudut pandang syariah itu adalah pandangan dan pemahaman ana sahaja dan melihat kepada buku rujukan tulisan prof. Masa ana present tu pun prof setuju dengan apa yang ana bahaskan. Alhamdulillah. Ana seronok belajar subjek ni sebab its simple dan sangatlah menarik ok. Ha, bawah ni adalah gambar kenangan kami setelah habis satu semester belajar subjek ni.ehe 

      Gambaq ni ambil dari ig Nikman (yg buat muka pelik tu). 
Tq nikmanniqmot! hehe


   Rujukan utama kami. Buku yg ditulis oleh prof. sendiri.

 

Semoga entry ini bermanfaat.